Hemat berbelanja mencapai jaya

Menjelang perbentangan belanjawan Negara esok (27 Oktober 2017), ada ura-ura kononnya kerajaan akan membina rumah mampu milik untuk menangani masalah rakyat Negara ini yang tidak memiliki rumah sendiri.

Kaji selidik umum yang dijalankan oleh pihak media menjangkakan keadaan akan lebih buruk sekiranya tiada tindakan proaktif dibuat untuk menangani masalah ini.

Kita berterima kasih kepada kerajaan dan pihak-pihak berwajib yang cuba menyelesaikan masalah ini, namun pada hemat penulis, antara sebab utama keadaan ini berlaku adalah kerana kesilapan kita sendiri, terutama golongan bumiputra yang kurang mempunyai kesedaran atau pendedahan dalam merancang kewangan.


Sebelum menyalahkan orang lain, kita terlebih dahulu patut melihat kelemahan kita sendiri. Berapa ramai daripada kita berhati-hati dalam merancang kewangan anda? Gaji bulanan anda (terutama golongan muda remaja) - ke manakah ianya anda belanjakan?

Menurut pemerhatian penulis kesemua kekangan kewangan kita hari ini bermula pada pertengahan dekat 90an apabila wujud:
  • ledakan penggunaan telefon mudah alih;
  • lambakan cafĂ© cyber di serata Negara yang wujud bagai cendawan tumbuh selepas hujan; 
  • mudahnya anak muda yang baru memasuki pasaran kerja membeli kenderaan dengan cara berhutang; 
  • siaran TV berbayar; dan
  • penggunaan kad kredit yang tidak terkawal melebihi had kredit.
Apabila anak-anak muda dari peringkat remaja dan masih bersekolah sudah mula memiliki telefon, sebahagian besar wang belanja mereka digunakan untuk membayar top-up kredit telefon mudah alih!

Menjadi budaya pula apabila waktu lapang digunakan untuk bersukaria menghabiskan masa chatting di kafe cyber atau bermain game secara online.

Perlukah anda melanggan sampai puluhan siaran TV berbayar? Kalau pun kita boleh tonton pada satu masa pun cuma satu siaran sahaja.

Pemilik kenderaan baru tentu sahaja perlu berbelanja untuk pengisian minyak, membayar tol lebuhraya dan penyelenggaraan kenderaan berkala. Tak kurang juga terdapat banyak kes kenderaan sewabeli terpaksa ditarik balik kerana gagal menjelaskan ansuran bulanan dan masih terdapat wang baki pinjaman setelah kenderaan dilelong. Tak cukup kenderaan dilelong, dapat pula saman untuk menyelesaikan baki pinjaman tertunggak. Ramai yang dihukum bankrap dan terlepas hak untuk memiliki rumah idaman. Kes penceraian turut meningkat.

Cuba pula anda teka... bangsa mana yang menjadi juara bab hutang kad kredit?


Apabila kuasa membeli golongan ini menjadi lemah ianya menyebabkan nilai jualan dimana-mana pusat membeli belah jatuh dengan teruk kecuali pada minggu pembayaran gaji atau tarikh yang berhampiran dengan hari perayaan. 

Kalau duit belanja tinggal cukup-cukup makan sahaja (atau dah jatuh bankrap), layakkah golongan ini memperolehi bantuan pinjaman bank untuk membeli rumah yang merupakan perkara asas yang diperlukan?


Mahu tak mahu, ada antara mereka terpaksa berhempas pulas mencari rezeki di Negara jiran, Singapura yang kadar tukaran matawangnya tinggi berbanding dengan berkerja di Negara sendiri.
Fikir-fikirkanlah. Kita yang menentukan masa depan kita sendiri. Sampai bila kita mahu bergantung kepada kuasa politik (yang hakikatnya samakin terhakis - salah kita sendiri juga).

Kesemua perkara di atas belum lagi mengambil kira proses dan perbelanjaan untuk melangsungkan perkahwinan. Untuk serba sedikit nasihat bagi pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan boleh mendengarnya di sini.

Berhematlah semasa muda demi masa depan anda.

No comments:

Post a Comment